Singapore Government Press Release

Media Relations Division, Ministry of Information, Communications and the Arts,

MITA Building, 140 Hill Street, 2nd Storey, Singapore 179369

Tel: 6837-9666

 

UCAPAN TIMBALAN PERDANA MENTERI,

ENCIK LEE HSIEN LOONG DI MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA MELAYU 2004

DI EDUTORIUM KEMENTERIAN PENDIDIKAN,

JUMAAT, 2 JULAI 2004, PADA JAM 5 PETANG

 

 

Encik Yatiman Yusoff, Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura

 

Encik Hawazi Daipi, Pengerusi Bulan Bahasa 2004

 

Tuan-tuan dan puan-puan

 

Pengenalan

 

Saya gembira dapat bersama anda pada petang ini untuk melancarkan Bulan Bahasa 2004. Majlis yang menggalakkan penggunaan bahasa ibunda di Singapura seperti ini mencerminkan keinginan kuat masyarakat untuk mengekalkan penggunaan bahasa  masing-masing. Saya amat berbesar hati dengan perkara ini. Mempelajari bahasa ibunda dapat membantu rakyat Singapura memahami dan mendalami warisan, budaya dan jati diri serta mengukuhkan lagi keyakinan kita sebagai satu masyarakat.

 

Persekitaran yang Berubah-ubah

 

Kita mesti sentiasa rapat dengan asal-usul kita. Sebagai sebuah negara imigran yang baharu, kita telah berjaya membentuk satu identiti Singapura yang unik, tetapi ia tidak sedalam dan sehalus identiti budaya-budaya China, India atau Asia Tenggara.  Mereka telah mengalami evolusi yang berkurun lamanya, sementara kita hanya tiga puluh sembilan (39) tahun sahaja. Oleh itu, kita harus belajar daripada kebudayaan warisan kita untuk membina identiti  Singapura kita yang baharu.

 

Selanjutnya, bahasa Melayu ialah bahasa utama dua negara jiran terdekat kita.  Kita mempunyai hubungan rasmi dan perdagangan yang erat.  Rakyat kita sering berhubung antara satu sama lain.  Nasib kita juga berkait rapat antara satu sama lain.  Dalam kita bekerjasama untuk menghadapi cabaran yang sama, dan kerjasama ekonomi ASEAN kian berkembang, hubungan kita akan menjadi lebih utuh.  Kebolehan menggunakan bahasa Melayu akan menjadi lebih penting dalam membantu kita memahami jiran-jiran kita, berkawan dengan mereka, dan membina hubungan yang lebih kukuh.

 

Walau bagaimanapun, globalisasi bermakna kita semakin terdedah pada pengaruh-pengaruh luaran.  Rakyat kita lebih terdedah pada bahasa Inggeris, dan mendapati lebih perlu untuk menggunakan bahasa Inggeris.  Anak muda kita menerima budaya pop.  Program-program TV, berita-berita antarabangsa, filem-filem ‘blockbuster’ adalah dalam bahasa Inggeris.  Banyak lelaman internet adalah dalam bahasa Inggeris; begitu juga buku-buku, jurnal-jurnal dan makalah-makalah tentang pelbagai bidang. Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa yang amat diperlukan dalam perniagaan di seluruh dunia. Semua rakyat Singapura perlu mempelajarinya.

 

Oleh sebab inilah, latar belakang bahasa masyarakat kita berubah.  Lebih ramai ibu bapa yang berpendidikan Inggeris.  Lebih banyak keluarga yang menggunakan bahasa Inggeris di rumah.  Pada tahun 1988, hanya lapan peratus (8%) pelajar Melayu dalam Darjah Satu datang daripada keluarga yang menggunakan bahasa Inggeris di rumah.  Sepuluh tahun kemudian, pada tahun 1998, angka ini bertambah menjadi dua puluh peratus (20%).  Sekarang, ia menjadi dua puluh lima peratus (25%).  Dalam keadaan seperti ini, kita perlu menggandakan usaha kita untuk terus menghidupkan bahasa ibunda kita. 

 

Menggalakkan Penggunaan Bahasa Melayu

 

Dwibahasa ialah teras sistem pendidikan kita.  Matlamat kita tidak berubah – untuk menggalakkan setiap pelajar Melayu mempelajari bahasa Melayu di sekolah selama yang mungkin dan setinggi yang mampu.  Untuk mencapainya, kita perlu mengemas kini dasar dwibahasa mengikut keperluan yang berubah.

 

Kita telah memperkenalkan Bahasa Melayu Sukatan B untuk membantu para pelajar yang lemah supaya berupaya mengikuti pelajaran bahasa.  Pada masa yang sama, kita memberikan peluang kepada para pelajar yang berkebolehan untuk mempelajari Bahasa Melayu Lanjutan di peringkat rendah, menengah dan prauniversiti.  Kita mengadakan Program Bahasa Melayu Elektif untuk Sekolah Menengah atau EMAS, di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, dan menawarkan Program Elektif Bahasa Melayu atau MLEP di Maktab Rendah Tampines.  Ini akan membentuk satu kumpulan yang mempunyai penghayatan yang mendalam tentang bahasa, dan dapat menyumbang kepada pengembangan bahasa melalui penulisan, pengajaran dan kajian.  Saya berharap agar ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak mereka yang berminat dan berkebolehan untuk mengikuti program-program tersebut.   

 

Kita juga sedang menghalusi pendekatan pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah.  Pengunaan bahasa Melayu pasar dapat diterima di rumah dan di pusat beli-belah.  Walau bagaimanapun, kita harus menggunakan bahasa Melayu yang sesuai untuk majlis-majlis rasmi. Ini kita galakkan dengan penggunaan bahasa Melayu Standard atau Baku di sekolah-sekolah. Para pelajar mempelajari tatabahasa, kosa kata dan istilah yang standard, termasuklah sistem sebutan standard atau Sebutan Baku. Sekolah-sekolah telah mula menggunakan Sebutan Baku pada awal 1990-an. Sejak itu, kelakonan para pelajar kita dalam peperiksaan lisan telah bertambah baik. 

 

Sokongan kuat anggota masyarakat akan menggalakkan masyarakat Melayu untuk menggunakan bahasa Melayu dengan lebih meluas.  Dalam hal ini, saya memuji usaha Majlis Bahasa Melayu Singapura.  Bulan Bahasa Melayu kali ini akan melibatkan aktiviti-aktiviti di kelab-kelab masyarakat, institusi-institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah.  Persatuan Bahasa Melayu NUS, akan menganjurkan Kembara Ilmu di Taman Belia Kebangsaan (National Youth Park), yang disasarkan kepada generasi muda. Banyak MAEC juga telah bergabung tenaga untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti bahasa dan budaya.  Ini menunjukkan kesediaan para pemimpin untuk bersatu tenaga demi kebaikan masyarakat.  

Penutup

 

Tema Bulan Bahasa 2004, ‘Keterampilan Bahasa Melayu’, amat relevan dengan suasana Singapura pada masa ini.  Saya mengucapkan tahniah kepada para penganjur Bulan Bahasa, semoga kempen anda berjaya.  Dengan ini saya merasmikan pembukaan Bulan Bahasa 2004.  Terima kasih.

 

_________