Singapore Government Press Release
Media Relations Division, Ministry of Information, Communications and the Arts,
MITA Building, 140 Hill Street, 2nd Storey, Singapore 179369
Tel: 6837-9666

 

PRIME MINISTER GOH CHOK TONG’S NATIONAL DAY RALLY 2003 SPEECH IN MALAY

 

Saudara-saudari setanah air,

 Saya berkongsi impian para pemimpin Melayu untuk membina masyarakat anda menjadi sebuah "Masyarakat Cemerlang".

Dalam keadaan ekonomi sekarang, ada di antara anda mungkin bertanya: Dapatkah wawasan ini dicapai?

Saya percaya ia boleh dicapai, jika anda lihat pada jangka panjang, dan antara lain, huraikan isu-isu berikut.

Pertama, jalinan antara pucuk pimpinan Melayu baru dengan masyarakat. Seperti pasukan yang terdahulu, mereka perlu mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat melalui wawasan, khidmat dan jasa mereka. Kedua-duanya, pucuk pimpinan dan masyarakat anda perlu bekerjasama untuk mencapai wawasan masyarakat. Ibarat pepatah, "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".

Kedua, masyarakat Melayu/Islam menghadapi cabaran yang sama seperti kaum-kaum lain - ancaman pengganasan antarabangsa, SARS, dan kehilangan pekerjaan. Kita berada dalam keadaan yang sama. Gunakanlah peluang ini untuk mendekati mereka dan membina ikatan yang berkekalan. Bentuklah satu identiti kebangsaan yang merentasi bangsa dan agama.

Saya tersentuh melihat cara semua kaum di sini berganding bahu semasa menentang SARS. Teruskan berinteraksi dengan kaum-kaum lain dalam arus utama. Anda akan meraih faedahnya. Jangan memencilkan diri sehingga menjadi ibarat anak sungai yang kurang penting. Jika berlaku demikian, kemajuan anda akan menjadi lebih perlahan. Anda juga menghadapi risiko disalahfaham oleh rakyat Singapura yang lain.

Ketiga: Adakan usaha besar-besaran untuk mengurangkan bilangan keluarga pincang. Kepincangan dalam keluarga kerap mengakibatkan masalah-masalah - pencapaian akademik yang rendah, keciciran sekolah, kenakalan remaja dan penagihan dadah. Mereka terperangkap dalam lingkaran musibah yang mempunyai ciri-ciri keluarga berpecah-belah, masalah sosial dan kemiskinan. Keadaan ini membebankan masyarakat anda.

Saya akan mulakan rancangan HOPE atau "Home Ownership Plus Education" untuk membantu ibu bapa muda yang berkelulusan rendah bagi membebaskan diri daripada jerat kemiskinan ini. Program ini bertujuan membina kemampuan mereka berdikari. Untuk melayakkan diri, ibu bapa perlu mengikuti latihan kemahiran dan membentuk keluarga yang kecil.

Galakkan ibu bapa sedemikian untuk mendapatkan faedah daripada rancangan ini. Ia adalah cara praktikal untuk meningkatkan prestasi masyarakat anda keseluruhannya.

Masyarakat anda telah bertambah kukuh kerana bersaing dalam sistem meritokrasi. Ramai yang telah berjaya dalam arus utama Singapura. Dengan kebolehan yang anda miliki, kita pasti akan dapat melihat lebih ramai anak Melayu/Islam yang berjawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta. Saya yakin akan perkara ini.

Akhir kata, saya ucapkan terima kasih kepada anda kerana telah membantu saya menghadapi pelbagai cabaran selaku Perdana Menteri. Saya harap anda akan terus memberi sokongan sedang saya mempersiapkan pasukan baru untuk menjaga kepentingan masyarakat anda dan Singapura.

Sekian.

Terima kasih.

...........