Singapore Government Press Release
Media Division, Ministry of Information and The Arts,
36th Storey, PSA Building, 460 Alexandra Road, Singapore 119963.
Tel: 3757794/5
____________________________________________________________
MENEROKA SUMBER -SUMBER IT DALAM BAHASA MELAYU
UCAPAN SETIAUSAHA PARLIMEN (PENDIDIKAN), ENCIK MOHAMAD MAIDIN PACKER MOHD DI MAJLIS PELANCARAN CD-ROM DIDI & DUDU KEMBARA BERSAMAMU PADA 15 MEI 1999 JAM 9 PAGI (SCGS)
Para undangan, Pengetua-pengetua dan guru-guru sekalian.
Pendekatan mengajar cara tradisional, baik bagi mata pelajaran bahasa ibunda mahupun mata pelajaran lainnya, ialah dengan menggunakan buku teks dan papan hitam, manakala pemerolehan dan penghafalan fakta sangat diutamakan. Pendidikan terhad di persekitaran bilik darjah dan sekolah sahaja.
Kini, perkembangan teknologi maklumat mengubah keadaan tersebut. Menerusi internet, berbagai maklumat dari seluruh pelusuk dunia, boleh kita perolehi dengan mudah. Dan persidangan video (video-conferencing) membolehkan manusia duduk bersama tanpa mengira batasan fizikal. Teknologi maklumat membawakan kaedah pengajaran baru yang lebih berkesan. Justru itu, pengajaran bahasa ibunda tidak patut disisihkan daripada perubahan ini. Sebagai guru hari ini, kita perlu berasa selesa dengan perkembangan teknologi ini bagi menyiapkan murid-murid kita menjadi pengguna IT yang trampil dan pencipta ilmu yang berkesan demi menghadapi cabaran alaf baru .
Bagaimana menjadikan warga Singapura relevan dan bersaing
Teknologi maklumat telah meruntuhkan hambatan-hambatan ekonomi sejagat. Bagi negara kecil seperti Singapura, kita perlu membina ekonomi berteraskan ilmu demi mengekalkan persaingan. Dalam ekonomi berteraskan ilmu, kita harus berupaya menyerap, memproses, menganalisa dan menerapkan ilmu pengetahuan. Dan satu contoh produk berteraskan ilmu itu ialah CD-ROM yang kita lancarkan hari ini. Kos untuk membuat CD plastik, kurang daripada $2, tetapi kepakaran yang diperlukan bagi menghasilkannya serta pengetahuan yang diperolehi daripadanya, jauh melebihi nilai fizikal tersebut.
Krisis ekonomi dewasa ini telah menjejas negara kita. Tahun lalu, lebih 28 ribu orang telah dibuang kerja. Kebanyakan mereka adalah pekerja berkemahiran rendah. Untuk kekal relevan dan bersaing, para pekerja kita, bukan sahaja perlu menambah daya penghasilan, tetapi juga perlu memiliki kemahiran yang relevan dengan zaman IT ini.
Meskipun ekonomi mengalami kemerosotan, pemerintah tetap menjadikan pendidikan satu keutamaan. Sekolah baru dibina, di samping membaiki dan memperbarui sekolah -sekolah yang lama. Menambah bilangan komputer di semua sekolah, menyiapkan bahan-bahan sofwe dan melatih guru-guru menggunakannya. Ini semua dilakukan bagi meningkatkan taraf pendidikan di sekolah-sekolah kita. Sebagai guru, anda perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran diri, agar dapat menyampaikan kepada anak-anak muda kita tentang kemahiran dan sikap yang penting bagi ekonomi berteraskan ilmu.
Pentingnya Sains dan Teknologi
Sains dan teknologi akan menjadi daya pendorong utama dalam ekonomi berteraskan ilmu. Kita mesti pastikan masyarakat Melayu, khsusnya golongan muda, berupaya memanfaatkan kemajuan sains dan teknologi. Penggunaan teknologi maklumat dapat melompat-tinggikan daya penghasilan serta daya saingan. Kita juga perlu melatih warga muda supaya berfikiran kreatif dan kritikal, serta berani mempersoalkan setiap andaian. Murid-murid harus diberikan kesempatan untuk mencari jawapan bagi masalah yang mungkin tiada huraian yang jelas dan pasti. Murid-murid hendaklah tidak gentar membuat kesilapan, dan kita mesti menyemaikan di jiwa mereka
semangat ingin tahu dan berani menghadapi risiko.
Pelan Induk IT dalam Pendidikan
Memandangkan Pelan Induk IT dalam pendidikan sedang dilaksanakan, saya percaya guru-guru akan lebih yakin menggunakan teknologi bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Tahun ini lebih daripada 15 ribu orang guru sekolah fasa 3, akan dilatih menggunakan IT bagi pengajaran dan pembelajaran.
Saya menyeru semua guru Bahasa Melayu agar menjalin rangkain dan berkongsi sesama sendiri sumber-sumber berguna yang cikgu-cikgu temui atau siapkan. Kejayaan kecil, amalan yang baik, malah kesilapan, dapat kita jadikan pelajaran dan kita kongsi bersama. Dengan cara itu lebih banyak sumber pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dapat dibina dalam tempoh yang singkat. Malah kita tidak patut menghadkan usaha kepada sumber-sumber IT Bahasa Melayu sahaja. Guru yang bijak akan dapat mencedok dan mengubahsuai sumber-sumber dari bahasa lain. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan bahan yang terkandung dalam ensaiklopedia elektronik yang banyak tersedia sekarang, dan menerapkannya ke dalam pelajaran Bahasa Melayu. Dengan cara ini, apa jua sumber yang tersedia di pasaran dapat menjadi bahan pengajaran yang relevan.
Pelancaran CD ROM Didi & Dudu Kembara Bersamamu
Saya berasa sukacita apabila mendapati bahawa salah satu peranan Bahagian Teknologi Pendidikan atau ETD, ialah menyusun haluan pengembangan sumber-sumber multimedia, serta bekerjasama dengan pihak industri bagi menghasilkan perisian atau sofwe pendidikan. Memandangkan kurangnya penerbitan perisian berbahasa Melayu, ETD telah mengorak langkah menghasilkan CD-ROM Bahasa Melayunya yang sulung ini.
Oleh itu, dengan sukacitanya, saya merasmikan pelancaran CD – ROM Didi & Dudu Kembara Bersamamu, hasil kerjasama ETD dengan SNP Education. CD-ROM ini satu tanda iltizam kami untuk menyediakan guru-guru Bahasa Melayu dengan perisisan pendidikan bermutu tinggi.
Akhir kata, saya ingin menegaskan bahawa sebaik manapun CD ROM yang dihasilkan atau tapak web yakni Web-site di internet, tidak dapat memberikan murid-murid sentuhan insani dan rangsangan jiwa, seperti yang cikgu sekalian lakukan. Sekolah akan sentiasa memerlukan guru. Saya menyeru cikgu-cikgu supaya mengambil kesempatan ini untuk belajar dan berkongsi pengalaman. Marilah kita semua berganding tenaga untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan menjadikannya mata pelajaran yang seronok bagi murid-murid kita.
Terima kasih