Singapore Government Press Release
Media Division, Ministry of Information and The Arts,
36th Storey, PSA Building, 460 Alexandra Road, Singapore 119963.
Tel: 3757794/5
___________________________________________________________
UCAPAN A/PROF YAACOB IBRAHIM, SETIAUSAHA PARLIMEN (PERHUBUNGAN) DI MAJLIS HAFLAH MADRASAH AL-ANSAR PADA 25 APRIL 1999 JAM 10 PAGI.
Tuan Haji Rahmad Buang, Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Al-Ansar serta sekalian anggota jawatankuasanya,
Ustaz Syed Abdillah Aljufri, Pengerusi Jabatan Pendidikan
Wakil-wakil masjid dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam
Para ibu bapa yang saya hormati
Sekalian Pelajar Madrasah Al-Ansar
Assalamualaikum Wr Wb
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada pihak Masjid dan Madrasah kerana sudi mengundang saya ke majlis yang berbahagia ini. Biasanya majlis haflah begini membuat seseorang pelajar itu gembira dan hari menerima hadiah atau sijil sentiasa menjadi kenangan. Ia menandakan kemuncak kejayaan seseorang dalam tuntutan ilmu. Kepada mereka yang tekun belajar selama tujuh tahun, saat ini lebih bermakna lagi. Syabas kerana stamina dan kesungguhan anda. Bagi mereka yang masih perlu terus belajar sebelum sampai ke peringkat yang lebih tinggi, jadikan hari ini sebagai motivasi untuk anda melalui tahun-tahun akan datang. Kejayaan pelajar-pelajar pagi ini boleh dijadikan contoh untuk anda kuatkan azam dan stamina. Tahniah kepada semua graduan dan pemenang hadiah pagi ini. Anda telah buktikan bahawa masyarakat kita dapat kekalkan tradisi dengan iman yang teguh dan pada masa yang sama menjadi rakyat yang setia.
Kita tidak harus lupa kepada ibu bapa yang meluangkan masa dan membantu usaha-usaha masjid. Saya percaya mereka telah memberi galakan kepada anak-anak mereka supaya mengekalkan prestasi dan minat mereka sejauh ini. Kita dengar tentang pelajar-pelajar yang tercicir. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk pastikan anak-anak mereka tekun dalam apa jua usaha. Anak-anak kita perlu disemai dengan nilai-nilai yang dapat membentuk mereka menjadi umat Islam dan rakyat Singapura yang baik. Program madrasah separuh masa di Masjid Al-Ansar memenuhi peranan yang amat penting untuk menyediakan pengetahuan asas agama dan ciri-ciri sebagai umat Islam yang baik. Di rumah, ibu bapa pula bertanggungjawab memperkukuhkan apa yang dipelajari di sekolah. Saya percaya ini telah pun dilakukan dan saya ingin menyeru agar ibu bapa terus melakukannya demi masa depan anak-anak.
Kurikulum dan tenaga pengajar madrasah juga memainkan peranan penting untuk mengekalkan minat belajar anak-anak kita. Sama ada di sekolah sekular atau agama, guru mempunyai pengaruh besar terhadap pelajar-pelajarnya. Anda yang mencorakkan minda mereka. Sebagai bapa kepada anak-anak yang masih kecil, saya mengerti antara mengajar orang dewasa dan kanak-kanak ada perbezaannya. Anda memerlukan kesabaran dan cara-cara mengajar yang kreatif untuk menarik minat kanak-kanak. Tugas guru penuh cabaran. Saya percaya asatizah kita sedar akan hal ini dan akan memastikan bahawa anak-anak kita didedahkan kepada cara-cara pembelajaran yang terbaik.
Madrasah-madrasah separuh masa dan sepenuh masa adalah sebahagian daripada sekitaran masyarakat Singapura. Sejauh ini kita lihat masjid-masjid dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam di Singapura mengadakan berbagai program, seperti madrasah separuh masa, bagi memenuhi keperluan agama masyarakat kita. Zaman kita menghantar anak-anak kita belajar agama di rumah ustaz atau ustaz datang ke rumah kita sudah berlalu. Kelas-kelas hari ini mempunyai asatizah yang terlatih dan kurikulum yang tersusun. Ini adalah satu pembaharuan. Proses menginstitusikan pengajaran Islam menunjukkan perubahan cara hidup hari ini. Lebih ramai ibu bapa Islam keluar bekerja, lebih mendesak lagi keperluan menghantar anak-anak mereka belajar agama. Ibu bapa mahukan kepercayaan dan keberkesanan. Ramai juga mahukan kelakonan anak-anak mereka diuji. Madrasah sekarang menjadi wadah untuk anak-anak mereka diasuh menjadi masyarakat Islam yang baik.
Sebagai sebuah institusi dalam masyarakat kita dan bagi kepentingan kita, madrasah-madrasah separuh masa memenuhi fungsi yang sangat penting. Apakah madrasah-madrasah ini mempunyai peranan yang lebih besar dalam arus nasional dan bagaimana peranannya? Saya yakin peranan madrasah sama seperti peranan sekolah-sekolah sekular. Selain daripada mengembangkan pengajaran Islam, madrasah juga harus memastikan agar anak-anak ini dapat menerapkan ilmu yang dipelajari di madrasah ke dalam nilai-nilai yang dapat membentuk mereka menjadi rakyat Singapura yang baik.
Kita tidak boleh menganggap bahawa dengan menjadi umat Islam yang baik bermakna sudah menjadi rakyat Singapura yang baik. Ini bukan proses yang automatik. Kita perlu mengambil kira pelbagai kaum di sekeliling kita dan masyarakat yang kita anggap sebagai rakyat Singapura juga. Islam mengajar kita menjadi jiran yang baik, tidak kira apa agama mereka. Islam juga mengajar kita membantu mereka yang miskin, menghormati orang yang lebih tua, patuh kepada undang-undang, dan memastikan keselamatan kaum wanita dan kanak-kanak terjamin. Unsur-unsur Islam yang merangkumi ciri-ciri kemanusiaan yang unggul adalah juga ciri-ciri masyarakat Singapura. Kita menghargai kejujuran, pemerintah yang bersih, keselamatan rakyat dan harta benda, kebersihan dan banyak lagi. Di sini kita lihat pertumpuan nilai-nilai yang unggul.
Saya ingin menggesa agar dalam kurikulum madrasah ditekankan ciri-ciri kemanusiaan yang unggul dalam Islam kerana ciri-ciri inilah yang harus ada dalam diri seseorang Islam Singapura. Kanak-kanak cepat menangkap serta mudah membentuk tanggapan dan prasangka. Jika kita terlalu menguatkan perbezaan-perbezaan di antara kaum-kaum di sini sementara mengenepikan titik persamaan kita, anak-anak kita kelak akan berasa sangsi terhadap orang lain. Sebaliknya jika kita tekankan persamaan yang kita kongsi sebagai rakyat Singapura, anak-anak kita akan lebih menghargai cara hidup berbagai kaum di negara ini. Cabaran kita ialah menyediakan strategi mengajar dan kurikulum yang sesuai untuk merangsang minda pelajar-pelajar kita. Saya percaya madrasah-madrasah sudah pun mulakan usaha ini.
Sedang Singapura bersiap sedia menghadapi perubahan-perubahan yang akan datang, program-program baru telah diatur untuk rakyat. Misalnya, kita menitikberatkan daya kreatif, pembaharuan, penciptaan ilmu dan keusahatekwanan. Ini seharusnya tidak mendatangkan masalah kepada kita sebab agama Islam pun menggalakkan umatnya mempunyai nilai-nilai ini. Kita juga perlu menyemak semula kurikulum madrasah dan membuat perubahan sewajarnya. Saya bukan menyarankan agar keusahatekwanan diajar di madrasah. Yang perlu kita pastikan anak-anak kita dapat menerima nilai-nilai ini di samping menghayati ajaran Islam.
Selain mengajar asas-asas agama, kelas-kelas madrasah hendaklah membantu memperteguh usaha sekolah-sekolah untuk menyemai nilai-nilai kreatif, inovatif dan sebagainya. Madrasah dapat membantu pelajar-pelajar kita menghayati apa yang dipelajari di madrasah dan di sekolah. Usaha ini boleh membantu anak-anak kita menjadi masyarakat Islam Singapura yang baik. Yang lebih penting, anak-anak kita akan sedar bahawa sebagai rakyat Singapura, nilai-nilai yang baik seperti rajin, jujur, menghormati orang tua, menghormati harta benda awam, menghormati pemerintah yang baik, membantu jiran kita, dan menceburkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan, adalah juga ciri-ciri umat Islam yang baik.
Sebagaimana institusi-institusi pendidikan yang lain di Singapura, madrasah juga memegang dwi-peranan bagi memenuhi keperluan masyarakat tertentu dan keperluan negara. Ia hendaklah bersifat simbiotik - saling menyokong, dan hasilnya sebuah masyarakat Islam yang bertakwa dan setia sebagai rakyat Singapura.
Terima kasih.
Wassalam.