Singapore Government Press Release

Media Division, Ministry of Information and The Arts,

36th Storey, PSA Building, 460 Alexandra Road, Singapore 119963.

Tel: 3757794/5

___________________________________________________________

SPEECH IN MALAY BY DPM LEE HSIEN LOONG

AT THE LAUNCH OF SURIA

ON SUNDAY, 30 JAN 2000, AT TCS TV THEATRE

 

  1. Saya berasa gembira dapat bersama anda malam ini untuk melancarkan Suria, saluran televisyen baru, khas untuk rancangan berbahasa Melayu.
  2. Tapi terlebih dahulu, saya rasa belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya, kepada masyarakat Melayu Singapura.
  3. Sejak beberapa tahun lalu, bilangan rancangan berbahasa Melayu di televisyen telah bertambah. Mutunya juga semakin tinggi. Pada tahun 1963, ada hanya dua saluran yang menyiarkan rancangan Inggeris, Cina, Melayu dan India.
  4. Apabila Perbadanan Penyiaran Singapura atau SBC menjadi badan korporat pada 1994, rancangan Inggeris dan Mandarin diperkemas menjadi dua saluran yang berasingan: TCS 5 dan TCS 8. Tetapi rancangan Melayu dan India berkongsi masa siaran di Prime 12.
  5. Hari ini, Prime 12 menjadi Suria, khas untuk rancangan-rancangan Melayu.
  6. Saya yakin, Suria, sesuai dengan namanya, akan membuka ufuk baru dunia televisyen Singapura dan membawa sinaran yang bermakna, khusus untuk masyarakat Melayu Singapura.
  7. Ini adalah langkah penting untuk memenuhi selera masyarakat Melayu Singapura. Dengan adanya TV kabel dan lebih banyak saluran asing, penonton Melayu mempunyai pilihan yang amat luas. Pada awal sembilan puluhan misalnya, kita boleh menonton 4 saluran televisyen dari Malaysia dan Indonesia dalam bahasa Melayu. Hari ini, jumlah yang boleh ditonton menjadi sehingga 7 saluran.
  8. Tambahan lagi, memandangkan ramai orang Melayu kini fasih berbahasa Inggeris, pilihan mereka tidak terbatas kepada rancangan-rancangan Melayu. Mereka juga dapat menonton berbagai-bagai rancangan TV kabel Inggeris seperti ESPN, Discovery, HBO atau CNN, atau melungsur di Internet untuk mendapatkan maklumat dan hiburan.
  9. Pilihan yang lebih luas ini bermakna langkah untuk meningkatkan siaran kita dalam bahasa Melayu menjadi lebih penting. Jika kita berupaya mengekalkan mutu rancangan terbitan tempatan, lebih ramai penonton akan mengikutinya kerana rancangan-rancangan ini mencerminkan masyarakat Singapura dan gaya hidup kita. Tidak seperti rancangan-rancangan asing dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia atau bahasa Melayu, rancangan-rancangan tempatan melaporkan berita setempat dan memaparkan watak dan keadaan yang dapat mereka rasakan dan hayati.
  10. Matlamatnya bukan saja untuk memenuhi permintaan pasaran tetapi juga untuk mencorak pandangan dan identiti nasional. Sebagai badan penyiaran, Televisyen Dua Belas Singapura mempengaruhi tanggapan dan pandangan penonton. Ia membantu melengkapkan mereka dengan sikap, nilai dan naluri untuk memupuk sebuah masyarakat yang mempunyai kesedaran budaya lebih tinggi dan bangga terhadap negara.
  11. Suria akan melakukan tanggungjawab ini, dan pada masa yang sama mencerminkan pandangan dan keprihatinan masyarakat Melayu. Seperti masyarakat lain, masyarakat Melayu adalah sebahagian daripada bangsa Singapura, dan mahu memberi sumbangan mereka dalam isu dan cabaran yang dihadapi negara.
  12. Oleh kerana itu, pendekatan Televisyen Dua Belas Singapura terhadap rancangan dan kandungan mestilah terus relevan dan seiring dengan cita rasa dan minat masyarakat Melayu. Jika tidak, bilangan penonton akan merosot dan kita akan kehilangan saluran utama untuk berhubung dengan masyarakat Melayu Singapura, memberitahu mereka cabaran yang kita hadapi dan mengukuhkan identiti mereka sebagai warga Singapura.
  13. Sejauh ini, Televisyen Dua Belas Singapura telah berjaya mendekati penonton Melayu. Antara 1995 dan 1998, bilangan penonton Melayu Singapura yang mengikuti rancangan Prime 12 meningkat dari 15% kepada 23%. Dan walaupun orang Melayu Singapura pada umumnya menonton TCS 5 pada awal malam dan bertukar saluran kepada RTM 1 pada tujuh malam apabila drama Melayu ditayangkan, tetapi mereka akan tetap menonton Prime 12 pada lapan malam apabila siaran rancangan Melayu bermula. Dan mereka akan terus menonton saluran ini hingga tamat siaran.
  14. Ini tidak bermakna laluan di hadapan akan menjadi mudah. Dengan pelancaran Suria, waktu siaran rancangan-rancangan Melayu akan bertambah 36.5 jam kepada 58 jam setiap minggu. Ini adalah cabaran besar Televisyen Dua Belas Singapura untuk menerbit dan menyiarkan rancangan-rancangan bermutu bagi memenuhi waktu siaran yang lebih panjang dengan lebih bermakna, dan mengekalkan minat masyarakat Melayu dan jumlah penonton Melayu yang menonton rancangan-rancangannya. Saya harap para penonton Melayu akan memberi Suria sokongan yang sepenuhnya agar pasukan Suria ini akan diberi galakkan dan inspirasi untuk menerbitkan rancangan–rancangan yang bermutu.
  15. Izinkan saya mengakhiri ucapan ini dengan serangkap pantun, sesuai dengan majlis ini :
  16. Bukit Caldecott tempat bertumpu

    Menari, menyanyi irama dan lagu

    Sinaran Suria di abad dua puluh satu

    Membawa wawasan Melayu baru

  17. Dengan ini saya dengan rasminya melancarkan Suria … sinaran hidup anda.