Singapore Government Press Release

Media Division, Ministry of Information and The Arts,

36th Storey, PSA Building, 460 Alexandra Road, Singapore 119963.

Tel: 3757794/5

___________________________________________________________

 

UCAPAN ENCIK MOHAMAD MAIDIN BPM, SETIAUSAHA PARLIMEN (PENDIDIKAN) DI MAJLIS PELANCARAN KURSUS KEJURULATIHAN SEPAKTAKRAW (TINGKAT SATU) BAGI PARA GURU ANJURAN BERSAMA PERSES DAN PUSAT ECA KEMENTERIAN PENDIDIKAN PADA 9.00 PAGI SELASA 16 MAC 99 DI SEKOLAH MENENGAH BUKIT BATOK, 50 BUKIT BATOK WEST AVE 8

 

 

Saya ucapkan tahniah kepada Pusat ECA kementerian pendidikan dan jawatankuasa kejurulatihan PERSES kerana menganjurkan kursus ini. Walaupun ini adalah majlis sederhana, ia mempunyai pengertian yang sungguh besar terhadap dunia sukan umumnya dan sepaktakraw khasnya.

 

Seperti kata pepatah 蜘Melentur buluh biar dari rebungnya蜘, maka amatlah penting mengembangkan minat dan menajamkan bakat kesukanan sejak seseorang masih kecil.

 

Untuk itu, permulaan yang diadakan sejak dari sekolah rendah lagi, menjadi satu tapak penting. Dengan kebiasaan dan berjinak-jinak dalam permainan sepaktakraw semasa di sekolah rendah, lebih ramai pelajar akan mengenal dan memintai sukan ini.

 

Bakat mereka kemudian dapat diasah semasa berada di sekolah menengah, ITE, maktab rendah dan pusat-pusat pengajian tinggi. Mereka yang terasuh dengan baik kemudian akan dapat dipilih untuk menjadi tenaga pemain di peringkat kelab, balai rakyat dan kawasanundi. Seterusnya, yang terbaik akan bersaing mendapatkan tempat dalam skuad negara.

 

Dalam hal ini, saya ingin menjelaskan bahawa majlis Persekutuan Sepaktakraw Singapura (PERSES) telah mengorak langkah untuk menjayakan 蜘Projek Semarak Sepaktakraw蜘. Ia bertujuan menghidupkan permainan tradisional ini di semua peringkat sekolah-sekolah, kejiranan dan kawasanundi.

 

Walaupun di negara kita sukan ini lebih banyak dijayakan oleh para pelajar Melayu, ia sebenarnya sudah menjadi sukan antarabangsa. Sekarang sudah ada pasukan takraw di seluruh Asia Tenggara dan beberapa negara di Asia seperti China, Jepun, Korea dan India. Seterusnya ia sedang berkembang pesat di benua Amerika Utara dan Selatan. Usaha sedang dibuat untuk mengembangkannya di Eropah.

 

Jadi, untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar, kita perlu menggariskan rancangan latihan yang lebih rapi dan mencakupi seberapa ramai golongan pelajar. Dan ia hanya akan berjaya jika tapak mulanya, iaitu di sekolah rendah dan menengah, dapat diasaskan dengan baik. Tanpa rancangan yang terlaksana dengan baik dan secara berterusan di sekolah-sekolah, masa depan sukan ini atau sukan-sukan lain, akan menjadi kurang cerah.

 

Kita juga akan berusaha agar sukan ini dapat dipopularkan di kalangan semua pelajar dan bukan di kalangan pelajar Melayu saja. Dengan itu, tebaran mencari dan mengasah bakat pemain akan menjadi lebih luas.

Disebabkan itulah saya tegaskan tadi, walaupun majlis ini sederhana, ia mempunyai pengertian besar. Dengan adanya lebih ramai tenaga guru yang terlatih di bidang kejurulatihan, pengadilan dan penganjuran pertandingan, maka harapan untuk kita melihat sukan sepaktakraw bersemarak di kalangan generasi muda akan mendekati kenyataan.

 

Dalam hal ini, saya berharapan tinggi agar kerjasama yang terjalin di antara majlis PERSES dengan Pusat ECA dan sokongan yang diberikan oleh Majlis Sukan Singapura (SSC) akan dapat diteruskan dari setahun ke setahun.

 

Saay yakin PERSES dan Pusat ECA dapat saling mendokong untuk memenuhi keperluan satu sama lain. Kegiatan Luar Darjah kian diberikan tempat yang wajar sebagai satu aspek pembentukan fizikal dan peribadi pelajar. Ia kian dipandang sebagai satu komponen penting dalam proses pendewasaan para pelajar kita. Para guru yang terlatih di bidang-bidang sukan tertentu, misalnya sepaktakraw, akan menjadi menjadi tenaga penggerak dan pemaju sukan ini di sekolah-sekolah.

 

Jika berjaya, anda akan menjadi penyumbang penting masa depan sukan ini di Singapura. Sebagaimana yang saudara-saudara ketahui, walaupun negara kita kecil, kekuatan pasukan sepaktakraw Singapura tetap disegani di Sukan Asia Tenggara dan Sukan Asia. Dalam Sukan Asia Disember lalu, pasukan Singapura membawa pulang pingat gangsa.

 

Dengan adanya rancangan tersusun yang dikendalikan oleh tenaga terlatih untuk mengenalpasti dan mengasah bakat para pemain sejak dari kecil, sudah tentu masa depan sukan ini lebih cerah.

 

Sepaktakraw juga telah diiktiraf oleh pemerintah sebagai salah satu sukan utama (core sports) yang perlu dikembangkan di negara ini memadangkan ia telah menunjukkan kemampuan untuk menyerlah dan memenangi pingat di peringkat antarabangsa.

 

Malah, sebahagian daripada kemahiran bermain sepaktakraw juga dapat digunakan dalam sukan bolasepak. Hakikat ini telah banyak kali ditunjukkan dalam kecemerlangan Fandi Ahmad semasa mengawal bola, menanduk dan menerajang bola ke arah gol. Fandi juga adalah seorang pemain sepaktakraw yang sangat baik.

 

Adalah menjadi harapan saya agar usaha meramaikan tenaga jurulatih, pengadil dan penganjur pertandingan akan dapat diteruskan dan ditingkatkan. Saya yakin anda semua akan memberi sumbangan besar dalam memajukan sukan sepaktakraw di sekolah-sekolah dan di peringkat nasional dalam jangka panjang. Hasilnya akan sama-sama kita ketahui apabila pasukan negara kita menjadi tenaga yang lebih ampuh di arena antarabangsa pada tahun-tahun akan datang.

Akhir kata, saya ucapkan tahniah kepada para penganjur kursus ini dan semua guru yang mengambil bahagian. Semoga usaha anda ini akan membawa hasil yang menguntungkan semua pihak, khasnya kepada kemajuan sukan di negara kita.

 

 

***