Singapore Government Press Release

Media Division, Ministry of Information and The Arts,

36th Storey, PSA Building, 460 Alexandra Road, Singapore 119963.

Tel: 3757794/5

____________________________________________________________

UCAPAN YATIMAN YUSOF, SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN (PENERANGAN & KESENIAN) DAN AP BAGI GRC TAMPINES DI MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA UNTUK PENGHUNI RUMAH WARGA TUA JAMIYAH DARUL TAKRIM DI TAMPINES ST 82 PADA SABTU 30 JANUARI 1999, 1.00 PETANG

 

Saya ingin memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnyanya kita dapat bersama pada petang ini.

 

Terima kasih dan tahniah kepada Persekutuan Syarikat-syarikat Kerjasama Nasional Singapura, Radio Ria 89.7, Yayasan Mendaki dan Syarikat Kerjasama Pekerja-pekerja PUB serta sukarelawan Darul Takrim kerana mengaturkan sambutan yang sangat bererti ini. Saya percaya anda akan bergembira merayakan Hari Raya dengan para warga tua di Rumah Orang-orang Tua Jamiyah (Darul Takrim) ini.

 

Kita beruntung kerana wujudnya kesedaran dan rasa tanggungjawab sosial yang mendalam di kalangan para pemimpin masyarakat kita hari ini. Mereka menterjemahkan sikap positif lagi penuh tanggungjawab ini dengan sama-sama membuka, mengendali dan mengembangkan kemudahan perkhidmatan untuk kalangan yang memerlukan bantuan dan jagaan.

 

Jumlah tajaka, tadika, pusat jagaan kanak-kanak, rumah warga tua dan pusat-pusat menasihat yang terbina, terbentuk dan menawarkan khidmat kepada berbagai kalangan yang memerlukan adalah menifestasi kesungguhan masyarakat untuk mengembangkan usaha murni ini.

 

Saya percaya bahawa kita berada di landasan yang betul dalam mengembang dan menyemarakkan semangat tradisional gotong-royong kita di tengah-tengah kehidupan moden Singapura. Adanya komitmen dari pihak Pemerintah untuk turut berperangan menyediakan kemudahan-kemudahan serupa ini atau menanggung sebahagian besar dari kos membina dan mengendalikan perkhidmatan serupa ini membolehkan para pemimpin masyrakat lebih bersedia dan lebih mampu untuk memikul peranan. Sebagai contohnya, Rumah Warga Tua Jamiyah ini telah dibina oleh Pemerintah dan diserahkan kepada Jamiyah untuk dikendalikan dengan wang subsidi bulanan. Kos selainnya akan diusahakan oleh badan-badan itu. Saya diberitahu bahawa Pemerintah menanggung hingga 70% dari kos pengendalian, 30% dari Jamiyah. Formula perkongsian tanggungjawab ini nampaknya telah menghasilkan suasana kerjasama yang sangat menggalakkan.

 

Saya yakin pendekatan serupa ini akan dapat menghasilkan faedah jangka panjang demi kemaslahatan umum.

 

Masyarakat yang berjaya adalah masyarakat yang berjaya mengatasi masalah masakini dengan cekap dan berkesan hingga ia tuntas dan pada masa yang sama dapat meletakkan/membina landasan yang betul untuk masa depan.

 

Kini, kita bersama dengan masyarakat sejagat akan melangkah ke era baru. Menteri Pembangunan Masyarakat, Encik Abdullah Tarmugi, dalam ucapannya malam tadi telah melakarkan landasan bertindak yang akan dilakarkan untuk menyiapkan masyarakat kita memasuki zaman Masyarakat Berteraskan Ilmu (KBE). Beliau telah pun menekankan hasrat para Anggota Parlimen Melayu/Islam untuk berganding bahu dengan semua bidang dan lapisan pimpinan yang ada di Republik ini untuk mencapai matlamat itu.

 

 

Memandangkan inisiatif ini begitu penting lagi genting demi penakatan dan kemajuan masyarakat kita pada masa depan, kita harus menumpukan segenap perhatian kita kepada usaha ini. Kalau inisiatif yang membawa kepada penubuhan Mendaki itu telah mencetuskan siri pelbagai projek, skim dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai pertubuhan pelajaran, sosial dan kebajikan kita hingga terhasil satu gerakan kemajuan dan pembangunan masyarakat Islam, maka kita perlukan satu lagi gelombang tindakan yang dapat membawa masyarakat kita ke era baru yang penuh cabaran itu.

 

Saya menyeru kepada para pemimpin masyarakat dari apa barisan pimpinan pun, dari bidang kegiatan apa pun, untuk menyahut cabaran ini dengan kesedaran dan perpaduan yang pukal serta semangat pengorbanan yang tulus ikhlas demi masa depan generasi mendatang.

 

Bersama kita boleh membina masyarakat cemerlang.